Penjajahan Israel terhadap bumi suci Palestin
Israel wujud hasil konspirasi jahat AS, Britain
Tarikh 14 Mei 2014 memperlihatkan penerusan kewujudan negara haram Israel yang mencecah usia 66 tahun hasil konspirasi jahat Barat diketuai oleh Amerika Syarikat dan Britain. Pada tarikh sama pada tahun 1948, David Ben-Gurion mengetuai perisytiharan penubuhan negara Israel dan rejim Zionisme yang memperjuangkan idealisme berpaksikan kepada maruah dan kemerdekaan bangsa dan negara Yahudi.
Sejarah bangsa Yahudi
Jika penelitian yang lebih khusus dijalankan, kita akan mendapati penindasan yang dilakukan oleh Russia terhadap bangsa Yahudi adalah pencetus kepada lahirnya Zionisme yang berputik di Russia. Cuma, perkara yang kurang ditonjolkan ialah Zionisme sebagai fahaman sekular dan pergerakan mewakili kaum Yahudi sebenarnya tercetus berikutan dengan kekejaman Russia terhadap kaum yang mendakwa menjadi ‘pilihan Tuhan’ itu.
Pada tahun 1881, Russia yang diterajui oleh Tsar Alexander III menginstitusikan ‘pogrom’ iaitu pendekatan ganas terhadap masyarakat yang dibunuh dan penempatan mereka dimusnahkan. ‘Pogrom’ dalam bahasa Russia bermaksud ‘untuk mendatangkan kebinasaan secara ganas.’
Ia menjadikan kelompok Yahudi sekular berpandangan penindasan hanya akan berakhir dengan memiliki tanah air sendiri. Ini membawa kepada terhasilnya penulisan Leon Pinsker pada tahun 1882 bertajuk ‘Auto-Emancipation’ yang menggesa dan menyedarkan kaum Yahudi mengenai kepentingan memiliki tanah air mereka sendiri bagi melawan sikap antisemitik membawa kepada pembentukan organisasi ‘Pencinta Sion’ bertempat di Kharkov.
Idea dipelopori oleh Pinsker itu mendapat sambutan. Maka pada tahun 1882, 6,000 kaum Yahudi bertekad meninggalkan Russia dan menuju ke Palestin. Ia adalah langkah awal yang dikenali sebagai gelombang pertama ketibaan Yahudi dan dikenali sebagai Aliyah Pertama atau Imigran Pertama. Tidak keterlaluan jika Barat dikatakan sebagai pencetus, penggalak dan punca kepada berkembangnya Zionisme. Lazimnya, apabila Zionisme dijadikan sebagai topik perbincangan dan perdebatan, nama Theodor Herzl akan dirujuk. Zionisme peringkat awal dimulai oleh Pinsker mendapat sentuhan ajaib Herzl yang dilahirkan di Budapest, Hungary dalam tahun 1860.
Pada peringkat awal, Herzl tidak begitu mendampingi fahaman Zionisme sekular. Graduan perundangan dari Universiti Vienna itu lebih menyenangi pandangan liberal, tidak pernah berbicara menggunakan bahasa Hebrew atau Yiddish tetapi lebih menyenangi amalan Kristian yang meletakkan pokok krismas di dalam rumahnya.
Namun, pandangan liberal Herzl akhirnya terhakis disebabkan Eropah dan Barat tidak pernah ingin mengenepikan prejudis berterusan terhadap Yahudi. Keadaan tegang yang dicetuskan oleh Eropah dan Baratlah yang sebenarnya bertindak sebagai pemangkin fahaman Zionisme sekular yang digerakkan oleh Herzl. Herzl memainkan peranannya dengan efektif dengan mendapatkan bantuan seperti Dr Moritz Gudemann (Ketua Rabbi Vienna), Dr Max Nordau (pakar fizik) dan Israel Zangwill (novelis Anglo-Yahudi). Bantuan dan pandangan yang diperoleh Herzl itu adalah bertitik tolak daripada penindasan berterusan serta sikap antisemitik terhadap mereka.
Bermula daripada tindakan Russia memperkenalkan ‘pogrom’ pada tahun 1881, diteruskan dengan pengkhianatan Perancis terhadap Alfred Dreyfuss seorang pegawai berbangsa Yahudi pada tahun 1895 yang dituduh perisik Jerman. Seterusnya, sentimen antisemitik memuncak hasil penulisan Eugen Duhring dari Jerman dan Edouard Drumont dari Perancis. Bahang antisemitik semakin membara dengan pelantikan Karl Luger seorang Sosialis Kristian yang sememangnya antisemitik sebagai Datuk Bandar Wina, Austria. Ia menyebabkan Herzl meluahkan perasaannya menerusi artikel Perasaan Orang Yahudi Adalah Kehilangan Harapan.
Organisasi terancang
Herzl menyuntik kepercayaan politik, sekali gus memiliki organisasi yang lebih teratur lagi terancang menerusi penulisannya yang bertajuk Der Judenstaat, membawa maksud ‘Negara Yahudi,’ diterbitkan di Vienna pada 14 Februari tahun 1896 selepas enam bulan perbicaraan Dreyfuss yang mendatangkan perasaan antiSemitik. Herzl tidak sempat melihat tertubuhnya negara Yahudi kerana beliau meninggal dunia pada tahun 1904, lapan tahun selepas Der Judenstaat dihasilkan.
Selepas kematiannya, usaha Herzl diteruskan oleh Chaim Weizmann, iaitu seorang Zionis Russia. Hakikat yang tidak dapat ditolak adalah disebabkan sifat penindasan kebanyakan negara Barat, termasuk Russia dan Eropah akhirnya membawa kepada Zionisme. Kebangkitan Yahudi yang memanjangkan lagi konflik dunia, lebih tepat lagi dunia Arab dan Yahudi.
SUMBER : Berita Harian
0 Comment " Rencana Penindasan Barat cetus kebangkitan Zionisme"
Post a Comment